Dalam menghadapi situasi politik negara kita hari ini, dengan kebangkitan atau disebut tsunami cina dan disamping perpecahan dikalangan orang Melayu yang sedang dihadapi, kemerosotan undi parti yang majoritinya mewakili Melayu yang sebelum ini mendapat majoriti 2/3 dalam 10 pilihanraya gagal mengekalkan rekod tersebut pada dua pilihanraya yang lalu, keadaan ini seharusnya diberi perhatian utama oleh pemimpin-pemimpin Melayu dalam Umno yang tak putus-putus melaungkan perjuangan demi agama,bangsa dan negara sebelum berlakunya tsunami Melayu pada PRU14 yang akan datang.
Amat malang jika pemimpin Melayu masih bercakaran sesama sendiri, dari merebut jawatan ketua bahagian sehingga bercita-cita menjadi menteri, sedang anak-anak bangsa sendiri masih ramai yang merempat dan terpaksa menagih rezeki disyarikat-syarikat milik bangsa lain?
Perpecahan Melayu jelas dapat dilihat bila timbulnya isu-isu yang berkaitan kepentingan orang Melayu dan umat Islam, pemimpin Melayu gagal untuk bersama bersatu pendapat dengan mengambil kira dari seluruh aspek dalam menjaga kepentingan Melayu diluar konteks kepentingan politik.
Berjuanglah dengan benar-benar ikhlas demi agama, bangsa dan negara, wahai pemimpin Melayu, buanglah sikap yang mengutamakan kepentingan peribadi mengatasi kepentingan parti. Cukuplah berretorik kuno dizaman yang begitu moden ini. Kelak akan diperlondeh dan ditelanjangi satu persatu akan segala retorik itu.
Tidak seharusnya mengcampuri perjuangan agama, bangsa dan negara dengan mencari keuntungan kepada diri kita sendiri, sebaliknya tubuhlah syarikat dan berniagalah tanpa menggunakan platform parti, kerana jika menggunakan platform parti, parti itu bersifat ramai tidak bersifat peribadi, keuntungan menggunakan platform parti sangatlah tidak wajar dimiliki oleh peribadi sebaliknya ia perlu menjadi dana parti bagi meneruskan perjuangan parti.
Lebih malang lagi jika projek-projek yang dibina menggunakan platform parti itu mengalami kegagalan atau masalah dan sekaligus parti akan menerima kesan buruk dari itu. Jika begitu perjuangan pemimpin Melayu, benarkah ia berjuang untuk menghidupkan parti ? Atau lebih sesuai jika kita katakan ia berjuang untuk memusnahkan parti diatas mendapatkan kepentingan peribadi.
Perlu diketahui, Malaysia adalah merupakan satu-satunya negara Komanwel yang belum pernah menukar Kerajaan Persekutuan sejak lebih 50 tahun lalu. Secara ironinya Empayar Kerajaan di dunia ini tidak pernah kekal lama dan akan berkuasa untuk selamanya. Apatah lagi bagi kerajaan yang mendukung sistem demokrasi, contohnya, kejatuhan Parti Kongres di India setelah 40 tahun memerintah, begitu juga berlaku dengan parti terbesar dan paling berkuasa di Jepun iaitu Liberal Demokrat Parti (LDP) yang tersungkur setelah 54 tahun memerintah.
Jika merasakan sistem demokrasi yang diamalkan oleh negara kita ini tidak akan menjatuhkan kerajaan BN, tapi jika rakyat sudah meluat dengan pemimpin dan sistem yang diamalkan kerajaan ditambah lagi dengan pembajaan benih fitnah pembangkang, apakah mustahil untuk berlaku revolusi dinegara kita sebagaimana berlaku di Tunisia, Mesir, Libya dan Syria ?
Suka kita merujuk titah Sultan Azlan Shah pada 29 Jun 1980. "Walau seberapa banyak sekalipun askar, polis atau pengawal istana digaji untuk melindungi dan menjaga tahta, namun tiada satu pun akan dapat mengatasi kehendak dan aspirasi rakyat jelata. Walau seberapa banyak peluru bedil atau peluru meriam sekali pun digunakan, namun tidak satu pun dapat menyekat kemarahan aspirasi rakyat. Jika kehendak rakyat jelata dimakbulkan Allah, maka (berlakulah) perpindahan takhta dari istana ke muzium seni dan budaya".
Dengan itu apakah kita fikir amalan mencari keuntungan peribadi secara melampau menggunakan platform parti itu satu perkara yang relevan untuk diamalkan ? Contohnya jika bangunan-bangunan yang baru dibina secara berterusan terus meruntuh, barang yang harganya RM1 juta ditender RM100 juta, apa itu bagus untuk parti ?
Sedangkan jatuh bangun sesebuah kerajaan itu bergantung kepada parti, jika parti itu ditolak rakyat, apa mungkin kerajaan itu masih kekal berkuasa? Jadi dimana relevannya mencari keuntungan peribadi diatas platform parti ? Yang dapat untung adalah sesekerat pemimpin dan kroni, yang duk terlopong pula ahli-ahli, jika diwar-warkan secara terbuka dikatakan boleh merosakkan imej parti, tapi jika menyonglap secara terbuka apakah ia bijak bistari ?
Sampai bila kita harus menjadi dungu dengan begitu sukar untuk kita bangkit memprotes pemimpin cacarmarba yang merosakkan parti ?, kalau seseorang penyokong atau ahli UMNO itu benar-benar sayangkan perjuangan UMNO, maka renunglah sejenak apakah benar tindakan anda mempertahankan pemimpin songlap, korup dsb itu berterusan dan bertenggek menjadikan UMNO yang anda sayangi dasar perjuangannya itu dikeji hanya kerana sikap tolol pemimpin seperti ini.
Jika apa-apa perkara yang timbul dan diperkatakan itu adalah fitnah, perlulah mana-mana pemimpin terlibat tampil mempertahankan maruah dirinya demi keutuhan parti, dan cybertrooper pro BN sentiasa bersikap terbuka dalam membantu menyebarkan kebenaran jika apa yang dituduh itu adalah fitnah.
Akhirnya, disaat-saat UmnoBN memerlukan sokongan setiap pihak, saat-saat yang getir menentukan masa depan perjuangan BN, bukan orang kecil Umno yang ingin membunuh Umno, tapi orang besar yang semasa berada dalam Umno pernah memalitkan isu di 'Brisbane' sedikit sebanyak memberi kesan buruk kepada Umno, dan setelah keluar Umno sekali lagi ia memburukkannya. Apa anda fikir ini politik demi agama, bangsa dan negara ?
Politik baru hari ini tidak memerlukan kita berfikiran lapuk untuk mempertahankan mana-mana pemimpin yang terbukti bermasalah, kerana pemimpin ini jugalah nanti selepas ia sukar lagi untuk melakukan masalah, ia akan memberi masalah kepada parti, anda sebagai pejuang pula, jika dulu anda pernah pertahankannya daripada diserang, tapi hari ini anda terpaksa pula menahan dari serangannya. Itulah uniknya politik yang perlu dilihat didalam kerangka yang luas dan jauh. Sama-samalah kita bermuhasabah. Anda Mampu Mengubahnya.
沒有留言:
張貼留言